
KETUMPULAN
Penyerang Terengganu FC II, Akanni Sunday Wasiu merisaukan pengendalinya,
Tengku Hazman Raja Hassan.- BERNAMA
28 April 2019
4:09 PM
KUALA LUMPUR
28 April - Meskipun berjaya meraih tiga mata selepas melakar kemenangan tipis
1-0 ke atas Negeri Sembilan tetapi pengendali Terengganu FC II (TFC II), Tengku
Hazman Raja Hassan kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
Jelasnya,
selepas memperolehi gol, pemain-pemainnya seakan hilang punca dan gagal
mengekalkan rentak permainan seperti dirancang namun dia tetap memuji disiplin
tinggi yang ditunjukkan ketika bertahan.
“Corak
permainan mereka agak kaku, pemain tidak beraksi seperti biasa sebagai mana
yang kita harapkan dan rancang sebelum permainan.
“Saya lihat
penyakit sama terus berulang, apabila kita mendahului lawan kita hilang punca
seperti yang berlaku ketika beraksi menentang PDRM tempoh hari.
“Dalam masa
sama, saya lihat semua bahagian tidak begitu tersusun tetapi dari segi bertahan
semua pemain menunjukkan disiplin yang baik dan saya berpuas hati,” katanya.
Dalam
perlawanan itu, bekas penyerang Negeri Sembilan, Bruno Suzuki muncul penjaring
tunggal pasukan tuan rumah menerusi jaringan minit pertama perlawanan untuk
memastikan kemenangan menjadi milik TFC II.
Sementara itu,
Tengku Hazman turut meluahkan kebimbangan berkenaan prestasi tidak konsisten
penyerang utamanya, Akanni Sunday Wasiu yang sering melepaskan peluang terbaik
untuk menjaringkan gol.
“Bukan sahaja
perlawanan malam ini (malam tadi) dia (Sunday) gagal menghasilkan gol, tetapi
saya lihat sudah banyak perlawanan pemain itu gagal menjaringkan gol walaupun
mempunyai peluang terbuka.
“Mungkin dia
belum menemui sentuhan gol lagi tetapi untuk pusingan kedua nanti jika pemain
itu gagal menonjol sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran kepada kita,” ujarnya.
- UTUSAN ONLINE 28 April 2019 4:09 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan