
Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@mediaprima.com.my
SETIAP pemenang Kasut Emas bukan hanya mahu dikenali sebagai penjaring
terbanyak dan trofi yang dimenangi, malah mereka juga mahu penghargaan
sewajarnya untuk dijadikan sebagai pembakar semangat generasi baru.
Perkara itu disuarakan pemenang Kasut Emas dua tahun berturut-turut, 1993
dan 1994, Hashim Mustapha apabila berasa sedikit terkilan kerana sebelum ini
tidak pernah dijemput oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) atau Liga
Bolasepak Malaysia (MFL) menghadiri Anugerah Bolasepak Kebangsaan.
“Sekurang-kurangnya saya sebagai pemenang anugerah Kasut Emas terdahulu
dijemput untuk menjadi penyampai kepada pemenang. Tak pernah sekalipun saya
mendapat jemputan,” kata bekas pemain Kelantan itu.
Ujarnya, walaupun anugerah itu diadakan di sekitar ibu negara,
sekurang-kurangnya pemenang terdahulu wajar mendapat pengiktirafan menghadiri
majlis itu dan berperanan sebagai penyampai anugerah kepada pemenang.
“Memang susah untuk mendapat anugerah Kasut Emas ini, yang mana ketika
zaman saya, saingan lebih sengit dengan kehadiran penyerang import.
“Saya perlu bersaing dengan Alistair Edwards, Scott Ollerenshaw dan Abbas
Saad. Bagaimanapun, saya memikirkan tugas saya ketika itu adalah sebagai
penjaring gol, kalau tak menjaringkan gol saya anggap tugas saya gagal,”
katanya.
Hashim menegaskan walaupun pasukannya tumpas tetapi masih mampu
menjaringkan satu gol, biarlah jaringan itu hasil sumbangannya.
“Pada 1993 saya meledak 13 gol secara keseluruhan, namun saya berazam untuk
mengekalkan status itu dan setahun kemudian memang rezeki memihak kepada saya
malah jumlah jaringan bertambah kepada 30 gol.”
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:49 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan