13.1.98
PENYERANG Kedah yang berasal dari Kelantan, Hashim
Mustapha berhasrat untuk kembali menyarung jersi skuad negeri kelahirannya bagi
musim bola sepak Liga Malaysia akan datang.
Ketika ditemui di Kota Bharu, semalam, Hashim berkata,
hasratnya itu telah disampaikannya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur
Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud dalam pertemuan mereka dua minggu
lepas.
''Wan Hashim bersedia menerima saya kembali,''
katanya.
Ketika ditanya kenapa dia ingin kembali ke Kelantan,
pemain itu berkata sehingga kini dia tidak tahu kedudukannya dalam skuad Kedah
dan belum ditawarkan kontrak baru.
''Lagipun saya dah lama di Kedah, biarlah saya kembali
berbakti di negeri kelahiran saya,'' katanya.
Hashim bermain untuk pasukan Kedah sejak 1996 dan
tidak begitu menonjol permainannya berbanding ketika mewakili Kelantan sebelum
itu.
Ketika bersama pasukan Kedah beliau sering kali
diturunkan sebagai pemain gantian. Dia juga tidak banyak menjaringkan gol
ketika bersama Kedah.
Dia pernah dianugerahkan Kasut Emas pada 1994 dan 1995
kerana menjadi penjaring terbanyak ketika beraksi dalam skuad Kelantan. _
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan