Jumaat, 18 Oktober 2019

4 pemain kukuhkan Kelantan


ARKIB : 13/02/1998
GANDINGAN Hashim Mustapha, Luis Puzzuto, Wan Rohaimi Wan Ismail dan pemain kontrak dari Kuala Lumpur, Wah Kah Loon dijangka mengukuhkan pasukan Kelantan menghadapi Liga Malaysia 1998, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.
Musim ini buat pertama kali Hashim yang disebut-sebut kembali mengetuai pasukan Kelantan akan beraksi dengan penyerang import Argentina dan Wah Kah Loon, bekas pemain Perak musim lalu.
Wah Kah Loon dan seorang lagi pemain dari Sabah, Ghafor Mohamad telah menandatangani kontrak beraksi dalam skuad Kelantan bagi tempoh dua tahun.
Pengurus skuad Kelantan, Suhaidi Yusoff menjelaskan, tidak sukar bagi jurulatih Kamaruddin Mohd. Noor dan pembantunya, Hamid Ramli memantapkan gandingan ketiga-tiga pemain itu.
Hashim, Wah Kah Loon begitu lincah dan mempunyai larian deras sementara Luis Puzzuto memiliki tendangan kencang untuk meranapkan gol lawan.
Beliau yakin bekas pemenang kasut emas itu akan kembali menyerlah sebagaimana dibuktikan sewaktu bersama Kelantan dua tahun lalu sebelum bertangdan ke Kedah.
Di barisan tengah, Kelantan mempunyai banyak pilihan dengan gandingan Mario Gomez, Tuan Kamree Tuan Yahya, Mohd. Adnan Mohd. Zain, Ghafor Mohamad dan Alif Rohaimi Azizhan.
Skuad Kelantan setakat ini masih memberi kepercayaan kepada Zahasmi Ismail mengemudi barisan pertahanan di samping beberapa pemain muka baru yang lain.

Khamis, 17 Oktober 2019

Hashim ingin sertai semula Kelantan


13.1.98

PENYERANG Kedah yang berasal dari Kelantan, Hashim Mustapha berhasrat untuk kembali menyarung jersi skuad negeri kelahirannya bagi musim bola sepak Liga Malaysia akan datang.
Ketika ditemui di Kota Bharu, semalam, Hashim berkata, hasratnya itu telah disampaikannya kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Amatur Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan Daud dalam pertemuan mereka dua minggu lepas.
''Wan Hashim bersedia menerima saya kembali,'' katanya.
Ketika ditanya kenapa dia ingin kembali ke Kelantan, pemain itu berkata sehingga kini dia tidak tahu kedudukannya dalam skuad Kedah dan belum ditawarkan kontrak baru.
''Lagipun saya dah lama di Kedah, biarlah saya kembali berbakti di negeri kelahiran saya,'' katanya.
Hashim bermain untuk pasukan Kedah sejak 1996 dan tidak begitu menonjol permainannya berbanding ketika mewakili Kelantan sebelum itu.
Ketika bersama pasukan Kedah beliau sering kali diturunkan sebagai pemain gantian. Dia juga tidak banyak menjaringkan gol ketika bersama Kedah.
Dia pernah dianugerahkan Kasut Emas pada 1994 dan 1995 kerana menjadi penjaring terbanyak ketika beraksi dalam skuad Kelantan. _ Bernama

Isnin, 14 Oktober 2019

Melnikov hampakan skuad Olimpik 2000


ARKIB : 16/05/1998
Melnikov hampakan skuad Olimpik 2000
FAKTOR kurang pengalaman menjadi jurang yang menyaksikan skuad Olimpik 2000 akur dengan kehebatan pendahulu liga, Pahang apabila tewas 2-1 dalam perlawanan bola sepak Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi.

Harapan 20,000 penonton yang sebahagian besarnya memihak kepada Olimpik nyata hampa apabila dua gol pelawat menerusi pemain termahal bernilai RM4 juta, Melnikov Viatcheslav menutup terus kehebatan anak buah Hatem Souissi.

Aksi menarik Olimpik 2000 dengan serangan pantas ketika seri 3-3 dengan Selangor, Sabtu lalu tetap menjadi ingatan namun nasib kali ini jelas memihak kepada Pahang yang berterima kasih kepada kehebatan Melnikov.

Kemenangan ini memperkukuhkan kedudukan Pahang untuk menduduki tangga teratas Perdana Satu dengan mengumpul 19 mata.

Sebaik bermula babak pertama, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan penuh hati-hati dalam tempoh sepuluh minit yang menyaksikan tiada serangan bahaya dilancarkan.

Hanya pada minit ke-15, Pahang nyaris membuka tirai jaringan namun tandukan ke belakang Shahrulnizam Sahat mudah ditangkap kemas penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian.

Olimpik yang cuba mengatur gerakan menerusi gandingan V. Saravanan dan Chow Chee Weng sukar melepasi benteng pertahanan yang dikemudi oleh Joszef Duro yang mengambil posisi Emmanuel Kofi Ampiah yang tidak diturunkan.

Gerakan Olimpik hadir pada minit ke-20 apabila Saravanan pantas memintas Khairulniza Mustaffa tetapi dia gopoh melakukan sepakan liar biarpun berdepan dengan penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad.

Giliran Pahang pula mencemaskan pertahanan Olimpik tetapi rembatan leret Azaruddin Aziz ketika keadaan kelab kabut di depan gawang tuan rumah hanya tersasar sipi dari tiang gol sebelah kiri Olimpik.

Pahang memperoleh gol pertama menerusi rembatan Melnikov selepas mendapat bola muntah apabila Jamsari Sabian gagal menangkap kemas lorongan Mohd. Ali Taha pada minit ke-33.

Belumpun sempat skuad Olimpik mengatur langkah mencari gol penyamaan, Melnikov sekali lagi bertindak garang apabila menyempurnakan sepakan sudut Suhaimi Mohd. Noor untuk menanduk masuk gol kedua.

Bermulanya babak kedua menyaksikan Olimpik cuba bangkit untuk mencari gol merapatkan jurang namun kekentalan benteng pelawat nyata sukar dilepasi.

Kemasukan Azmir Nor Hakim, Chia Ching Kar dan Nik Ahmad Fadly Nik Leh pada babak kedua menampakkan sedikit perubahan permainan Olimpik.

Kerja keras mereka akhirnya dibayar dengan gol pada minit ke-78 menerusi Tengku Hazman yang menyambar bola di depan gawang hasil umpanan lintang Azmir yang memaksa Mudzar hanya terpaku melihat jaring gawangnya bergegar.

Begitupun, Olimpik terus dihampakan Pahang bagi mencari gol penyamaan untuk Tok Gajah pulang selesa dengan tiga mata.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0516&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4JO7ekrko © Utusan Melayu (M) Bhd