Ahad, 26 November 2017

Harap Aiman diserap ke skuad senior TRW

AIMAN (kanan) diselitkan dalam senarai nama terbaru skuad senior Kelantan. FOTO/ Ihsan Johor Southern Tigers.
Attirmidzie Rahman
sukanteam@nstp.com.my

LEGENDA bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha berharap anak lelakinya Aiman Shakir Hashim dapat diserap ke dalam skuad senior pasukan negeri itu musim depan.

Hashim berkata, jika anaknya yang kini berusia 20 tahun berpeluang mewakili pasukan itu musim depan, ia dapat meneruskan legasi bola sepaknya sekali gus memperluaskan pengalaman anaknya sebagai pemain.

Menurutnya, anak bongsu daripada tiga beradik itu kini beraksi dalam skuad Piala Presiden sebaris dengan nama seperti Daniel Ashraf Abdullah dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

“Sudah tiba masanya dia (Aiman) yang bermain di benteng pertahanan beraksi dalam skuad Liga Super kerana sebelum ini dia antara yang membantu skuad Kelantan dalam pertandingan Piala Presiden.

“Sebagai bapa sudah pasti saya mahukan yang terbaik dan mahu dia bermain di peringkat lebih tinggi kerana bakat muda seperti ini perlu mendapat lebih penampilan dalam sesebuah pasukan,” katanya.

Hashim yang juga jurulatih The President Warriors bagaimanapun tidak memaksa badan induk negeri itu untuk memilih anaknya kerana ia sekadar pendapat peribadi.

Katanya, seramai 15 pemain yang kini beraksi dalam skuad Piala Presiden negeri itu berpotensi untuk diserap ke skuad utama.

“Saya tidak kata pengurusan perlu ambil cuma kalau boleh dipertimbangkan kerana saya menganggap anak saya berpotensi sama dengan rakannya yang beraksi dalam pasukan.

“Ada kira-kira 15 lagi pemain yang dilihat boleh membantu skuad utama Kelantan dan mungkin mereka ini memerlukan masa satu atau dua tahun lagi sebelum dapat diserap sepenuhnya ke skuad senior,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 6:24 PM

Khamis, 28 September 2017

Hashim ketuai skuad negara di Rio



ARKIB : 07/01/1999
BEKAS penyandang anugerah Kasut Emas sebanyak tiga kali, Hashim Mustapha mengetuai cabaran Malaysia pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Dunia di Rio de Janeiro, Brazil 9 hingga 17 Januari ini.

Hashim yang berasal dari Kelantan diberi penghormatan menguatkan barisan serangan pasukan negara.

''Hashim pernah menyandang anugerah kasut emas pada 1990, divisyen Dua 1993 dan Divisyen Satu 1994. Dia adalah penyerang yang sudah terbukti kepakarannya dan sesuai untuk pasukan ini,'' kata jurulatih Malaysia, M. Karathu.

''Saya yakin dengan kehadiran Hashim memperkuatkan cabaran negara kali ini.''

Selain Hashim, Karathu yang juga pengurus pasukan, turut menyenaraikan beberapa bekas pemain kebangsaan untuk kejohanan yang berlangsung di pantai terkenal Copacabana, Rio De Janeiro.

K. Gunalan diletakkan sebagai pertahanan belakang sementara Rosli Omar, yang bermain untuk Negeri Sembilan dalam Liga-M akan mengemudi bahagian tengah.

Penyerang veteran, Hassan Sani, yang bermain dalam tiga Kejohanan Cabaran Bola sepak Pantai Mild Seven di Stadium Negara Kuala Lumpur akan berpasangan dengan Hashim di bahagian serangan. Hassan berpengalaman bermain atas pasir.

Pemain lain termasuklah bekas pemain pertahanan Pahang dan Negeri Sembilan, Raizuwah Idris, penjaga gol yang sedang meningkat, Mohd Hamsani Ahmad dan Thoong Thee Eng serta K. Padmanathasivan.

''Pasukan kita boleh dikatakan baik tahun ini. Walaupun tidak mempunyai banyak masa melakukan persiapan, pemain meletakkan satu tujuan - memberi persembahan terbaik.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Phb1p3bU © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 19 Mac 2017

PIALA MALAYSIA 10/10/2001 TNB 3-1 JKR KELANTAN

OLEH -AHMAD BIN YAAKOB
Di Stadium Sultan Mohd. IV, Kota Bharu, TNB Kelantan mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab senegeri, JKR Kelantan, tetapi gagal memintas Perak atas perbezaan gol setelah masing-masing terikat dengan 10 mata.

Bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha menjaringkan dua gol untuk TNB Kelantan pada minit ke-12 dan 39 sebelum Rosli Ismail menambah gol ketiga pada minit ke-50. Empat minit kemudian, Zainuddin Ariffin dilayangkan kad merah oleh pengadil.

JKR Kelantan hanya berupaya memberikan saingan pada babak pertama apabila Adnan Musa menjaringkan gol sagu hati pada minit ke-21.[1]



[i]http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blL8lL00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 4 Mac 2017

JKR Kelantan catat kemenangan selesa

ARKIB : 12/07/2000
JKR KELANTAN menundukkan pendahulu, Kelantan 3-0 pada perlawanan bola sepak Perdana Dua di Stadium Sultan Mohamed ke-IV di Kota Bharu, semalam.

Dengan keputusan itu, Kelantan jatuh ke tangga kedua liga yang diambil alih oleh Melaka yang menang 4-1 di Stadium Kubu.

Dua jaringan menerusi ketua pasukan JKR Kelantan, Roslan Hassan nyata membawa kesan positif kepada permainan pasukan tuan rumah itu yang berjaya bertahan dari asakan-asakan Kelantan yang cuba bangkit pada separuh kedua.

JKR Kelantan bertindak garang sebaik wisel pertama ditiupkan dan Roslan yang mendapat peluang di hadapan pintu gol tidak mensia-siakan untuk menghasilkan gol pada seawal minit pertama.

Kelantan terus dihukum apabila Roslan sekali lagi bertindak cemerlang dengan menghasilkan gol kedua apabila menolak masuk bola setelah berlaku perebutan di hadapan pintu gol lawan pada minit ke-24.

Bekas penyerang kebangsaan, Hashim Mustapha menambah sengsara Kelantan apabila menambah gol ketiga pada minit ke-28 hasil sepakan percuma dari sebelah kanan pintu gol.

Kelantan yang ketinggalan cuba bangkit dengan asakan bertali arus, tetapi beberapa percubaan penyerangnya tersasar termasuk tandukan Mohd. Hardi Ahmad pada minit ke-40 yang terkena palang.

Usaha Kelantan akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati pada minit ke-60 hasil jaringan bekas pemain Johor, Anuar Abu Bakar.

Sementara itu, nasib menyebelahi TNB Kelantan apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas KL Malay Mail di Stadium KLFA, Cheras.

Jaringan tunggal Zakri Bidi pada minit ke-69 sudah cukup buat pasukan pelawat mencatat kemenangan kelima daripada 15 perlawanan sekali gus melonjak ke tangga kelima liga.

KL Malay Mail harus mempersalahkan diri sendiri ekoran gagal mengutip mata penuh di gelanggang sendiri setelah menguasai hampir kesemua babak perlawanan tetapi dikecewakan ekoran tindakan penyudah yang tidak sempurna.

Zakri menghukum kelalaian pertahanan tuan rumah apabila mudah menewaskan penjaga gol M. Pavalamani dari jarak dekat dengan rembatan leret yang kencang setelah menerima hantaran lambung dari tengah padang.

Kekalahan itu juga menyebabkan KL Malay Mail merosot ke tangga kedua tercorot dengan perbezaan satu mata di atas Telekom Melaka pada ketika perlawanan liga berbaki tiga perlawanan sahaja lagi.

Sementara itu, Brunei hanya seri 2-2 dengan Perlis walaupun mendahului 2-0 pada perlawanan Perdana Satu di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan.

Tuan rumah yang berhajat memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga, memulakan permainan dengan baik apabila mendahului menerusi jaringan Awangku Sallehuddin pada minit ke-37 dan Abang Norsilmmy Taha dua minit kemudian.

Namun, Perlis yang tidak patah semangat terus berjuang untuk menghasilkan gol pada babak kedua dan tanda-tanda kebangkitan skuad Singa Utara bermula apabila G. Shanmugam merapatkan jurang gol menerusi jaringan pada minit ke-76.

Jaringan semangat itu menambah garang Perlis yang berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-90 menerusi percubaan Farouk Ismail pada minit ke-90.
sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4aO8M2VgA

© Utusan Melayu (M) Bhd